Lexi dan Danny Reed telah mengikat tali perhubungan setelah menjadi pasangan suami isteri yang sah pada tanggal Oktober tahun 2015. Seperti mana-mana pasangan berkahwin lain, memiliki cahaya mata daripada perkongsian hidup mereka adalah satu perkara yang sentiasa diidamkan.
Namun, terdapat satu halangan yang harus ditempuhi oleh kedua-dua pasangan ini di mana mereka harus melakukan perubahan drastik dalam gaya hidup mereka.
Lexi dan suaminya adalah pasangan obes. Lexi mempunyai berat badan yang mencecah sehingga 220kg manakala Danny pula seberat 127kg! Diet harian mereka adalah makanan segera dan pasangan ini juga lebih gemar duduk berbanding bergerak secara aktif.
Namun selepas berkahwin, Lexi dan Danny mula menjadi serius dan mahu membina keluarga mereka sendiri.
“Saya tahu saya tidak akan pernah berpeluang untuk menjadi seorang ibu dengan saiz itu jadi perkara inilah yang memotivasikan diri saya,” kata Lexi.
Proses transformasi bermula menjelang Tahun Baru 2016 dan Lexi telah mengambil inisiatif untuk mendokumentasikan keseluruhan proses ini melalui akaun Instagram miliknya, @fatgirlfedup.
Sehingga kini, Lexi berjaya meraih seramai 471,000 pengikut yang ternyata amat mengagumi serta berbangga dengan pencapaian dan perubahan pada Lexi serta suaminya.
Gambar-gambar sebelum dan selepas yang dimuatnaik oleh Lexi jelas memberi inspirasi kepada semua orang bahawa matlamat untuk mengurangkan berat badan adalah satu perkara yang tidak mustahil!
Pasangan ini telah menukar gaya hidup mereka secara keseluruhannya. Daripada mengamalkan pemakanan yang tidak sihat seperti makanan segera, mereka mula mengambil sayur-sayuran, protein dan karbohidrat yang dimasak di rumah. Malah, mereka turut gigih dalam melakukan senaman.
Kegigihan untuk mencapai matlamat ini berjaya membuatkan Lexi mengalami penurunan berat badan daripada 220kg kepada 82kg sahaja! Hebat bukan? Sementara itu, suaminya pula mengalami penurunan sebanyak 41kg menjadi 86kg.
Lihatlah perubahan mereka. Betul-betul menakjubkan!
“Kehilangan berat badan boleh merapatkan atau memisahkan sesuatu perhubungan dan bagi kami, perjalanan ini telah mengeratkan lagi hubungan kami”.
“Perjalanan ini bermula kerana kami ingin menjadi ibu bapa suatu hari nanti. Sekarang, matlamat ini bukan sahaja tidak mustahil tetapi kami juga boleh hidup bersama sehingga tua”.
Tambah Lexi lagi menerusi Instagram, “Kelilingi diri anda dengan mereka yang sentiasa mendorong anda untuk menjadi lebih baik dan menyokong matlamat anda tidak kira ianya kecil atau besar”.
Danny turut bersetuju dengan pendapat isteri tercintanya dan berkata, “Perkara ini banyak membantu dalam perhubungan kami dan ianya agak hebat. Kami boleh melakukan semua perkara bersama-sama dan hal inilah yang telah mengeratkan hubungan antara kami berdua”.
Lihat video bermotivasi di bawah dan jadikannya sebagai sumber inspirasi. Kalau Danny dan Lexi boleh, anda juga sedah tentu mampu melakukannya! Apa yang penting adalah kegigihan dan semangat dalam mencapai matlamat itu. Semoga berjaya!
Sumber: Inspire More