Seorang perompak terbunuh setelah bergelut dengan pemilik rumah yang dimasukinya


JOHOR BAHRU – Seorang lelaki dipercayai perompak telah terbunuh dalam satu insiden pergelutan bersama dengan pemilik rumah yang ingin dirompaknya di Taman Puteri Wangsa, Ulu Tiram.

Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Shahurinain Jais, suspek yang berusia 32 tahun telah ditemui mati dengan kecederaan parah di kepala dan tangannya. Kematian mangsa dipercayai berpunca daripada pisau yang ditemui di lokasi kejadian.


Pihak polis turut berjaya menemui dompet, wang tunai sebanyak RM730, cincin emas dan juga sebuah telefon bimbit jenis Motorola dalam kocek seluar suspek.

“Kejadian itu dipercayai berlaku apabila suspek dan mangsa yang juga berusia 32 tahun bergelut sehingga menyebabkan kedua-dua mereka mengalami kecederaan. Bagaimanapun, mangsa yang cedera di bahagian kepala dipercayai ditikam dengan menggunakan pemutar skru kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah,” kata Shahurinain.

Dalam kejadian yang berlaku pada jam 2.45 petang (4 Januari) itu, suspek dikatakan telah memecah masuk rumah mangsa melalui tingkap tandas bersebelahan dapur sebelum memecahkan pintu bilik utama.

Pada waktu itu, mangsa yang berada di dalam rumah telah diugut untuk menyerahkan barangan berharga dengan menggunakan pemutar skru. Suspek turut bertindak menggeledah bilik kedua dan ketiga rumah berkenaan.

Jelas Shahurinain lagi, mangsa kemudiannya dipaksa oleh suspek untuk membuka pintu dapur bagi tujuan melarikan diri. Akan tetapi, mangsa telah mencapai sebilah pisau pemotong sayur berukuran 22 sentimeter lalu mengugut suspek pula.

“Dia mengarahkan suspek untuk memulangkan semula barangan miliknya tetapi suspek enggan sehingga menyebabkan berlaku pergelutan antara kedua-dua mereka”.


Hasil siasatan awal polis mendapati suspek mempunyai 14 rekod jenayah lampau termasuk kes dadah, rompakan, kecurian dan pemerdagangan kanak-kanak. Mayat kemudiannya dihantar ke Hospital Sultan Ismail untuk dibedah siasat.

Walau bagaimanapun, netizen ternyata melontarkan rasa tidak puas hati setelah mendapati kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 302 kerana membunuh.

“Dia (pemilik rumah) tidak seharusnya disiasat di bawah Seksyen 302 kerana dia cuma mempertahankan diri dan barangannya. Patutlah perompak semakin berani sekarang ini,” luah seorang netizen.

Seorang lagi pengguna Facebook berkata, “Pihak polis hanya menjalankan prosedur yang telah ditetapkan. Jika pemilik rumah tersebut tidak bersalah, dia pasti akan dibebaskan”.


Sumber: MalaysiaKini dan Oriental Daily