Bekas atlet wanita Rusia setinggi 2 meter kini lebih selesa jika digelar model tertinggi di dunia


Bekas pemain bola keranjang dari Rusia yang pernah memenangi pingat Olimpik bernama Ekaterina Lisina, mempunyai ketinggian tertinggi di Rusia iaitu setinggi 205 sentimeter. Selepas bersara dari menjadi atlet bola keranjang, Ekaterina kini telah mengalih sasaran untuk menjadi model tertinggi di dunia.


Berdiri dengan ketinggian 2 meter itu, Ekaterina yang berasal dari Penza, Rusia secara rasmi telah diiktiraf sebagai wanita tertinggi di Rusia.

Selepas bersara dari bermain bola keranjang, Ekaterina yang mempunyai kaki yang panjang dan cantik telah beralih minat dan karier di dalam bidang peragaan. Kini dengan ketinggiannya itu, Ekaterina dipercayai merupakan model tertinggi di dunia.


Menurut Ekaterina,”Rekod model tertinggi di dunia kini dipegang oleh Amazon Eve, tetapi ketinggiannya itu lebih rendah daripada saya. Saya benar-benar ingin mencipta rekod sebagai model tertinggi di dunia. Saya juga mempunyai peluang untuk diiktiraf sebagai wanita berkaki terpanjang di dunia kerana kaki saya sepanjang 1.33 meter, yang mana juga melepasi pemegang rekod dunia terkini.

Wanita tertinggi di Rusia yang berusia 29 tahun ini sentiasa menjadi perhatian dan mempunyai ramai peminat di seluruh dunia, yang kebanyakannya dari kaum lelaki yang memanggilnya wanita Amazon atau wanita berkaki besar. Saiz kaki Ekaterina sahaja sudah mencapai saiz 12 yang dipercayai sebagai antara terbesar di dunia juga.


Menurut Ekaterina, “Saya suka mendapat perhatian orang ramai dan berharap apabila saya mendapat gelaran ini, saya akan mendapat lebih banyak perhatian. Saya rasa dengan kaki saya yang panjang, ia akan membantu saya di dalam karier peragaan kerana tidak ramai model yang mempunyai kaki yang sangat panjang.”

Pada usia 16 tahun, Ekaterina terpaksa memilih dua impian iaitu menjadi pemain bola keranjang profesional atau seorang model. Dengan mempunyai bakat bermain bola keranjang dengan baik, Ekaterina telah memilih untuk meneruskan karier profesional dalam sukan bola keranjang.


Kata Ekaterina, “Semasa itu saya perlu membuat pilihan di antara menjadi model dan bermain bola keranjang. Oleh kerana saya tidak berasa ragu-ragu untuk bermain bola keranjang kerana saya mempunyai bakat, saya telah  memutuskan untuk menjadi pemain bola keranjang profesional.”

Semasa menjadi pemain profesional, Ekaterina telah bermain dalam pasukan CSKA Moscow dan Dynamo Kursk dalam Liga Perdana Rusia. Pada Sukan Olimpik 2008, Ekaterina telah mewakili Rusia dalam sukan bola keranjang dan telah membantu negaranya memenangi pingat gangsa.

Dilahirkan dari keluarga yang semuanya mempunyai ketinggian yang luar biasa, bapa Ekaterina mempunyai ketinggian 198 sentimeter dan ibunya 188 sentimeter. Abangnya Sergei pula mempunyai ketinggian 198 sentimeter dan ketinggian Ekaterina mengatasi ahli keluarganya yang lain.

Abang Ekaterina, Sergei berkata, “Semasa kecil, adik saya selalu dibuli  rakan-rakannya  kerana berkaki panjang dan saya selalu mempertahankannya dari dibuli dengan teruk. Namun, selepas meningkat remaja, kakinya yang panjang itu menjadi satu kelebihan kepadanya kerana adik saya amat berbakat dalam sukan.”


Semasa membesar, perkara yang menjadi masalah dengan ketinggiannya ialah mencari pakaian yang sesuai.

Katanya, “Amat sukar bagi diri saya untuk membeli pakaian dan saya tahu saiz saya ini amat berbeza dari orang normal yang lain.”

Namun, lama kelamaan, ketinggian itu sebenarnya memberi banyak kelebihan kepadanya untuk mendapat perhatian dan menjadi terkenal di kalangan orang ramai.


Menurut Ekaterina, “Saya hanya menyedari diri saya ini amat menarik semasa berumur 24 tahun. Saya mempunyai tubuh badan seorang atlet dan lebih tinggi dari semua orang dan mereka mengidamkan bentuk tubuh seperti saya pada umur tersebut.”

Katanya lagi, “Perhatian itu datang dari kaum lelaki, dan oleh sebab itu, saya berasa selesa dan bertambah yakin dengan tubuh badan dan ketinggian saya sekarang.”


Ekaterina merupakan seorang ibu tunggal kepada seorang anak lelaki berusia 6 tahun. Beliau menjadi lebih yakin dan menyayangi dirinya selepas kelahiran anak lelakinya yang kemudian telah tampil menjadi wanita yang lebih cantik, anggun dan menarik.

Ekaterina berkata, “Sebelum ini, saya selalu merasa mempunyai tubuh badan remaja dan kini saya lebih berasa feminin dan berkeyakinan tinggi. Saya berasa amat selesa dengan ketinggian saya dan tidak menghadapi masalah menjadi wanita tertinggi dari orang lain”.


Kata Ekaterina Lisina lagi, “Saya rasa menjadi tinggi itu amat hebat dan mengagumkan. Tiada keraguan tentang perkara ini. Dan ia sentiasa menjadi kelebihan buat saya. Jika diberi pilihan untuk menambah tiga atau empat sentimeter lagi ke atas ketinggian ini, saya akan bersetuju sahaja.”


Kredit imej : Anna Arzamastseva/ Barcroft Images

Sumber: b TV